Visi & Misi

VISI
"MENGUNGGULI INDUSTRI ASAS TANI DI SABAH"

MISI
"MEMBANTU KERAJAAN MENINGKATKAN PENGELUARAN MAKANAN, HASIL PERTANIAN DAN PENDAPATAN MASYARAKAT TANI"

OBJEKTIF KPD dalam Enakmen Korporasi Pembangunan Desa 1981 :

Untuk membantu meningkatkan taraf hidup ekonomi dan sosial masyarakat luar bandar terutamanya yang miskin;

Untuk membantu meningkatkan keluaran pertanian dan mempercepatkan perkembangan industri yang berasaskan pertanian melalui pengurusan ladang moden dan komersil

Untuk membantu dan memajukan sekumpulan usahawan Bumiputra yang mahir dalam bidang pertanian dan khidmat sokongan yang berkaitan; dan

Mengekal dan menambah nilai bersih Korporasi keseluruhannya bagi sesuatu tempoh masa.

FUNGSI UTAMA

* Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan untuk masyarakat petani di luar bandar;
* Menjalankan aktiviti pemprosesan dan pemasaran semua hasil keluaran KPD secara komersil;
* Membuka ladang-ladang baru yang diusahakan secara perladangan kontrak dengan petani dan juga ladang milik KPD sendiri;
* Mengusahakan dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan perindustrian yang berasaskan pertanian di dalam dan luar negara; dan
* Melakukan semua usaha serta tindakan yang diperluaskan untuk mencapai tujuan komersil.

STRATEGI KPD

TINGKATKAN PENGELUARAN
Memperbesarkan skel operasi pengeluaran ladang milik sendiri dan ladang peserta kontrak.

LUASKAN PASARAN
Penjenamaan semula dan mengeluarkan produk ditambah nilai tinggi untuk pasaran tempatan dan global, di samping meluaskan saiz pasaran bagi produk-produk hasil keluaran KPD.

PELBAGAIKAN PELABURAN
Mempelbagaikan pelaburan melalui usahasama dengan pihak swasta untuk memberangsangkan pertumbuhan ekonomi negeri.

MURNIKAN NILAI & BUDAYA
Memantapkan budaya korporat dengan membudayakan nilai-nilai murni di kalangan wargakerja KPD.

PERKASAKAN SUMBER MANUSIA
Memantap dan memperkasakan modal insan supaya mampu memberikan kelebihan persiangan kepada KPD.

UTAMAKAN KELEBIHAN PERSAINGAN
Melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan di mana KPD mempunyai kelebihan persaingan sedia ada.

OPTIMAKAN JARINGAN KERJA
Menjalin jaringan kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi dan pihak swasta dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

MANTAPKAN PERLADANGAN KONTRAK
Memantapkan program perladangan kontrak supaya dapat meningkatkan pendapatan para peserta serta membangunkan sekumpulan usahawan.

MANTAPKAN ORGANISASI
Penstrukturan semula organisasi untuk menyokong pencapaian pelan strategik.

KUKUHKAN KEWANGAN
Mengukuhkan kedudukan kewangan melalui aktiviti-aktiviti perniagaan yang dapat memberi pulangan pelaburan yang optima.

TERAPKAN INOVASI & TEKNOLOGI
Mengoptimumkan inovasi dan penggunaan teknologi untuk menambah nilai produk keluaran KPD bagi menembusi pasaran eksport.

Pengertian Logo KPD

Warna coklat keemasan melambangkan tanah subur yang bersesuaian untuk diterokai dengan aktiviti-aktiviti pertanian dan penternakan.

Warna Biru melambangkan keperluan bekalan air dalam membantu pembangunan sektor pertanian

Daun Berwarna Hijau menggambarkan penglibatan KPD dalam pembangunan pertanian yang menjadi teras kepada perniagaan KPD secara keseluruhannya. Perubahan warna daun-daun yang berperingkat merujuk kepada organisasi KPD yang bersifat dinamik, progresif, berwawasan dan komited untuk penambahbaikan berterusan organisasi.

Garisan Segiempat berwarna biru menunjukkan wujudnya kesepaduan dan keteguhan, semangat kerja berpasukan dan kesetiaan wargakerja dalam merealisasikan halatuju KPD.

Garisan Putih melambangkan wargakerja yang mendokong prinsip-prinsip keamanahan, ketelusan dan keterbukaan komunikasi serta mengamalkan nilai-nilai korporat yang murni.

Sejarah KPD

Korporasi Pembangunan Desa (KPD) ditubuhkan pada tahun 1976 sebagai sebuah badan koperatif yang dinamakan Koperasi Serbaguna Pembangunan Desa Berhad. Pada tahun 1977, Kerajaan Negeri Sabah telah menggubal Enakmen Korporasi Pembangunan Desa 1977 yang menjadikan KPD salah sebuah Badan Berkanun di bawah naungan Jabatan Ketua Menteri.

Akhirnya pada tahun 1981 Enakmen Korporasi Pembangunan Desa 1977 telah diganti dengan Enakmen Korporasi Pembangunan Desa 1981 bagi menjadikannya sebagai agensi pelaksana pembangunan luar bandar di bawah Kementerian Pertanian Dan Perikanan Sabah (kini Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan Sabah).

Pencapaian

MAKLUMAT DAN FAKTA MENGENAI PENCAPAIAN TAHUNAN PELAKSANAAN DASAR KPD

Sejak Halatuju Pembangunan Dan Kemajuan Negeri Sabah diperkenalkan, KPD telah melaksanakan beberapa program pembangunannya bagi membantu kerajaan mencapai halatujunya. Program-program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:-

PERKHIDMATAN DAN PEMBANGUNAN PERTANIAN

Kaedah Perladangan Secara Kontrak yang telah lama diperkenalkan oleh KPD sebelum ini diteruskan dengan diberi penekanan sebagai satu pendekatan utama dalam pelaksanaan projek-projek galakkan pendapatan (IGP) di kalangan petani. Melalui kaedah ini, para petani diberikan kredit bahan-bahan input pertanian bagi mengusahakan sesuatu projek di ladang milik mereka. Pihak KPD pula menyedia dan memberikan khidmat nasihat teknikal kepada mereka secara berterusan. Pembayaran balik ke atas kredit bahan-bahan input tersebut akan dibuat melalui potongan daripada harga jualan hasil keluaran projek yang dijalankan.

TERNAKAN AYAM PEDAGING

Projek ini dijalankan di kawasan Penampang, Tuaran, Papar, Beaufort, Kota Belud dan Keningau, melalui perladangan secara kontrak dan diternak di ladang milik KPD sendiri. Ianya dimulakan pada penghujung tahun 1980-an dan telah banyak memberi manfaat kepada petani yang terlibat serta banyak menyumbang dalam pengeluaran daging ayam di negeri Sabah.

TANAMAN CENDAWAN

KPD telah memperkenalkan tanaman ini pada tahun 1992 kepada para petani di kawasan Kundasang, Moyog dan seterusnya diperluaskan ke kawasan Kimanis ada tahun 2011. Projek ini juga dijalankan melalui 2 kaedah, iaitu perladangan secara kontrak dan juga di ladang milik KPD sendiri. Jenis cendawan yang ditanam adalah Shiitake, Ling Zhi, Tiram dan cendawan Jeli.

TERNAKAN LEBAH MADU

Projek ini mula diperkenalkan di Kota Marudu pada tahun 1991 dan seterusnya dikembangkan ke daerah Kudat dan Pitas melalui perladangan secara kontrak. Berdasarkan potensi ekonomi yang agak memberangsangkan melalui penternakan lebah madu, maka KPD telah mengambil keputusan untuk memulakan projek ini di kawasan-kawasan lain di negeri Sabah seperti Sipitang, Kota Belud, Tambunan, Sook, Tenom dan Sapulut. Pada masa kini KPD telah mula menternak lebah madu secara persendirian sama ada diusahakan di ladang milik KPD ataupun di ladang milik petani/pihak lain. Ini bagi memastikan sumber bekalan madu lebah di pasaran konsisten memandangkan permintaannya yang tinggi.

PEMBANGUNAN PEMASARAN FFB

KPD telah menceburkan diri dalam Perkhidmatan Jual Beli FFB di kawasan Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Sandakan sejak tahun 2000. Program ini dilihat sebagai suatu peluang perniagaan yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan disebabkan banyak pekebun kecil kelapa sawit di kawasan-kawasan terbabit yang memerlukan perkhidmatan seumpamanya. Ternyata para pekebun kecil tersebut mendapat pelbagai faedah daripada perkhidmatan yang disediakan oleh KPD kerana mereka tidak perlu lagi memasarkan sendiri FFB terus ke kilang yang sudah semestinya menggunakan kos pengangkutan yang tinggi.